Isnin, 30 Disember 2013

Tip cergaskan diri untuk buang angin badan.

Tip cergaskan diri untuk buang angin badan.

Selain menjaga pemakanan, cergaskan diri adalah antara perkara yang anda perlu lakukan untuk buang angin badan. Cergaskan diri dengan senaman memang mudah jika kita hanya berfikir mengenainya. Namun, bagi pesakit angin badan untuk mulakan senaman untuk cergaskan diri, mereka perlu berlawan dengan seluruh isi dunia sebelum mereka lakukannya. Selain senaman, ada banyak lagi cara untuk cergaskan diri untuk buang angin badan.
Untuk bantu pesakit angin badan cergaskan diri, berikut saya senaraikan tip bagaimana hendak cergaskan diri.
  • Setiap hari, anda tetapkan masa untuk anda lakukan senaman. Tak kira apa sahaja perasaan yang anda rasa ketika itu, anda perlu lakukan senaman. Jika keadaan luar hujan, lakukan senaman di dalam rumah. Jika anda dapat disiplinkan diri selama dua minggu melakukan senaman pada setiap hari, anda tidak akan ada masalah untuk cergaskan diri melakukan senaman di masa akan datang.
  • Kurangkan makan. Apabila anda berjaya kurangkan makan, anda akan rasa lebih cergas. Percayalah jika anda kurangkan makan, dalam masa seminggu sahaja anda akan rasa segar bugar.
  • Kurangkan minum minuman gula dan air bekarbonat. Jika mahu minum jus buah, pastikan anda buat sendiri dan minum tanpa gula. Amalkan minum hanya air suam sahaja.
  • Lakukan senaman renang, jogging atau jalan kaki pada setiap minggu. Tiga senaman ini boleh menggerakkan seluruh tubuh anda dan anda pasti akan rasa cergas sentiasa jika anda sentiasa lakukan tiga jenis senaman tersebut.
  • Guna minyak slimming massage oil untuk segarkan otot – otot anda supaya anda rasa bersemangat untuk lakukan senaman.
  • Ambil masa berfikir dan buatkan satu jadual untuk anda jalani kehidupan esok. Pastikan setiap masa di penuhkan dengan aktiviti yang berguna. Mengikut jadual akan bantu anda untuk dapatkan kecergasan yang anda mahu.

Jumaat, 13 Disember 2013

Berbasikal Untuk Jantung Yang Sihat

brad-pitt-bicycle
Berbasikal untuk jantung yang sihat
Senaman adalah penting untuk kesihatan fizikal dan emosional kita. Selain daripada mampu menggembirakan kita melalui pelepasan hormon “endorphin”, ia juga membantu kita mengawal berat badan dan memastikan setiap sel tubuh berada dalam keadaan optimum.
Kajian terbaru yang dijalankan oleh salah sebuah jurnal perubatan terkemuka dunia, The Lancet, mendedahkan bahawa satu pertiga daripada golongan dewasa di dunia tidak aktif secara fizikal, dan gaya hidup ini mengorbankan lebih kurang lima juta orang setiap tahun. Malaysia diletakkan pada tangga ke-10 bagi negara paling malas di dunia dengan kadar tidak aktif di kalangan dewasa pada 61.4%.
Ramai yang mengetahui bahawa berbasikal merupakan antara cara terbaik untuk kekal sihat dan cergas. Berbasikal merupakan senaman yang ideal bagi masyarakat di semua peringkat umur dan latar belakang. Tidak seperti tanggapan umum, berbasikal bukan hanya tertumpu pada bahagian kaki.
Berbasikal merupakan aktiviti kardio pernafasan yang menguatkan badan dan pada masa yang sama membolehkan pengamalnya bergembira dan bersosial. Berbasikal secara kerap membantu mengelakkan penyakit seperti barah, kencing manis, obesiti, artritis dan juga kemurungan. Berbasikal secara keseluruhannya dapat meningkatkan kadar kecergasan seseorang, namun kelebihan berbasikal bagi jantung adalah lebih besar.
Melancarkan aliran darah
Aliran darah yang lancar dapat meningkatkan daya ingatan dan konsentrasi seseorang kerana pengumpulan toksin dalam badan dihalang. Berbasikal mampu mengerjakan jantung dan saluran darah dengan mengalirkan darah yang tinggi kandungan oksigen ke seluruh badan, sambil membakar lemak badan dan mengurangkan selulit. Ia juga mengalakkan jantung menjadi lebih efisien dan memperbaiki sistem pernafasan dan aliran darah dengan menguatkan otot jantung.
Mampu mengawal tekanan darah
Berbasikal meningkatkan kawalan tekanan darah sebanyak 10/8 mmHg bagi pesakit yang mengalami darah tinggi dan membantu merendahkan kadar tekanan darah sewaktu rehat bagi mengurangkan risiko kematian secara mengejut bagi mereka yang sihat (Journal of Cardiovascular Pharmacology, 1995).
Ia juga mengurangkan mendapan darah dan lemak badan pada arteri, serta meningkatkan kemampuan badan untuk mencegah pelbagai jenis penyakit termasuklah kencing manis dan darah tinggi. Berbasikal secara kerap menjadikan kadar kematian bagi kedua-dua jantina bagi semua peringkat umur turun sebanyak 40% (Journal of Internal Medicine, 2000).
Mengurangkan paras kolesterol `jahat’
Berbasikal juga berfungsi sebagai pengawal tubuh yang baik. Ia memainkan peranan dalam mengurangkan kadar kolesterol jahat, LDL, sambil meningkatkan kadar kolesterol baik, HDL. Semakin tinggi nisbah HDL/LDL anda, lebih sihat badan anda kerana kolesterol lebih banyak dibuang berbanding dikumpulkan. Ini bermakna terdapat kurang kolesterol dalam badan yang akan diserap masuk ke dalam tisu dan arteri, lantas mengelakkan keadaan bergelar arteriosklerosis.
Berbasikal secara kerap mengurangkan sebanyak 50% risiko menghidap penyakit kardiovaskular seperti stroke, penyakit yang keempat paling banyak membunuh di Malaysia.(Helping Needy Stroke Victims, The Star Online, 2011).
Terdapat banyak tip latihan yang dapat anda amalkan untuk meningkatkan prestasi berbasikal.

Berikut merupakan beberapa cara mudah untuk menguatkan badan dan mencergaskan diri semasa senaman:

Pemakanan yang seimbang – Amalan pemakanan yang baik merupakan langkah pertama untuk kekal cergas. Memakan makanan yang berkhasiat dengan sayur-sayuran hijau, buah-buahan serta hidangan yang terdiri daripada protein dan karbohidrat yang lambat dihadamkan dapat membantu badan anda mendapatkan nutrien yang diperlukan, menggantikan tisu yang terpakai serta menghasilkan tenaga.
Menghidratkan tubuh – Penyahhidratan mengehadkan prestasi anda dalam acara kompetitif dan boleh mengakibatkan kekejangan otot serta masalah lain. Malah, kekurangan air dalam badan walaupun pada kadar yang sedikit boleh merendahkan metabolisme dan mengurangkan kemampuan anda untuk bersenam secara efisien. Amalkan pengambilan air pada selingan masa yang tetap sepanjang 2-4 jam selepas anda berbasikal bagi menghidratkan tubuh anda semula.
Kekal fleksibel – Aktiviti memanaskan dan menyejukkan badan yang dijalankan dengan cara yang betul merupakan faktor penting bagi mengelakkan kecederaan. Pemanasan badan membantu anda untuk bersedia secara mental dan fizikal bagi aspek-aspek sukan yang lebih mencabar, manakala penyejukan badan membantu badan anda untuk kembali ke mod rehat secara perlahan-lahan.
Mendapatkan tidur yang cukup – Kebaikan tidur memberi kesan kepada hampir semua aspek kehidupan seharian kita. Badan anda menghasilkan molekul protein dengan lebih banyak ketika anda tidur, dan ini menjadikan anda lebih kuat melawan jangkitan serta membantu anda untuk kekal sihat.

Penyakit Kulit Psoriasis

Anggaran tiga peratus rakyat Malaysia alami kegatalan, trauma psikologi akibat penyakit kulitkronik.
Berdepan situasi menakutkan apabila mengalami masalah kulit berair dan kemerah-merahan serta rasa gatal yang melampau. Selain itu, kulit pesakit bagai bersisik terutama apabila suhu meningkat.
Cuaca panas juga memberi kesan hingga kulit mereka berparut selain mengalami masalah ketidakselesaan fizikal.
Malah, penyakit itu mengundang keresahan, ketara, berulang dan menyakitkan hingga remaja ini mengalami trauma psikologi. Malu berhadapan khalayak ramai. Fungsi asas diri mereka seperti berjalan atau tidur juga terjejas akibat masalah yang dihadapi itu.
Bagi segelintir individu, masalah kulit itu mungkin dianggap biasa atau bermusim. Namun, sebenarnya ia adalah psoriasis. Ia adalah sejenis penyakit kulit biasa yang menjejaskan kitaran hidup sel kulit akibat sel tumbuh dengan cepat pada permukaan kulit, membentuk sisik tebal, berkilat yang gatal, kering, kemerah-merahan dan kadang kala menimbulkan rasa sakit berlarutan.
Laporan Persekutuan Antarabangsa Persatuan Psoriasis menyebut, penyakit kronik berkaitan imuniti ini biasanya muncul pada peringkat umur antara 15 hingga 25 tahun. Namun, ia boleh bermula pada sebarang peringkat umur.
Mengikut laporan Persatuan Dermatologi Malaysia (PDM), kira-kira tiga peratus rakyat Malaysia menderita akibat psoriasis – penyakit kulit kronik yang dikaitkan dengan berbagai beban fizikal dan emosi. Pesakit psoriasis di seluruh dunia pula dianggarkan mencecah 125 juta orang.
Daripada jumlah itu, dianggarkan hampir satu per empat daripada mereka menghidap psoriasis peringkat sederhana hingga serius serta perlu diberi perhatian. Penasihat Perubatan Kehormat, Persatuan Psoriasis Malaysia, Dr Steven Chow Kim Weng, berkata secara psikologi, derita akibat psoriasis menyebabkan pesakit kurang yakin dengan imej sendiri, rendah diri, kemurungan, hilang identiti serta berdepan konflik pemencilan sosial.
Dr Steven berkata, berdasarkan kajian Persatuan Pesakit Psoriasis Persekutuan Eropah terhadap 18,000 pesakit psoriasis, 77 peratus daripada mereka mengakui psoriasis membawa impak besar serta mengganggu kehidupan harian.
“Pesakit perlu sedar Psoriasis bukan penyakit berjangkit dan tidak boleh sembuh. Namun, ia dapat dikawal melalui rawatan jangka panjang.
“Walaupun simptom psoriasis hanya ada pada kulit badan, namun ia bukan penyakit di luar badan saja. Sebaliknya, ia berpotensi tinggi menyebabkan penyakit kardiovaskular dan arthritis psoriatik (gejala sakit atau bengkak pada sendi).
“Kulit kepala, lutut dan siku termasuk kuku dan tulang antara bahagian badan yang berisiko dihidapi dan penumbuhan plak pada tangan dan kaki menyukarkan pesakit melakukan sesetengah pekerjaan, senaman atau aktiviti.
“Pengalaman merawat pesakit yang menderita psoriasis sederhana hingga serius selama beberapa tahun memberi perspektif bahawa penyakit ini bukan saja menjejaskan hubungan sosial pesakit, malah menimbulkan perspektif negatif terhadap keadaan diri mereka. Justeru, rawat penyakit ini secara berkala,” katanya.
Dr Steven berkata, psoriasis terbahagi kepada beberapa jenis iaitu psoriasis bertompok (paling lazim) dan guttate psoriasis (biasa terjadi dalam kalangan kanak-kanak).
Ada juga psoriasis tahap kronik sehingga memerlukan rawatan di hospital antaranya erythrodermic psoriasis; Lampin psoriasis; Pustular psoriasis (teruk hingga menimbulkan kesakitan); Guttate psoriasis dan Plaque psoriasis (bertompok dan timbul).
Sehubungan itu, masyarakat dinasihat mendapatkan pemeriksaan perubatan menyeluruh dari pakar kulit atau mencuba kaedah rawatan inovatif biologik dan berkualiti tinggi.
Simptom psoriasis
  • Keguguran sisik pada kulit
  • Tompok-tompok merah pada kulit kepala, siku, lutut dan bahagian lain badan.
  • Gatal tetapi pada tahap yang berbeza-beza
Sumber: Berita Harian